Friday, January 24, 2014

Tenang walau dikritik

Susunan Mahani Ishak | mahani@bh.com.my
 
 Tenang walau dikritik
 
Terima dengan hati terbuka dan bina positif

Secara jujurnya, tiada seorang pun mahu dikritik. Seseorang akan menganggap diri tidak bagus dan mungkin berasa malu jika kritikan dilemparkan kepadanya, malah cuba membetulkan kesalahannya.

Apa yang pasti, kritikan adalah lumrah perlakuan manusia apabila tidak bersetuju dengan cadangan dan tindakan seseorang. Kebiasaannya, apa yang dinamakan kritikan ini ialah kata-kata dan ungkapan yang akan menghalang sesuatu tindakan yang sudah atau sedang diambil. 

Bagi yang tidak tabah dan tidak tahan dengan kritikan dan hujah yang diterima, pasti akan menyerah kalah dan berundur.

Bagaimanakah pula reaksi anda jika dikritik? Marah, mahu menangis, menjawab atau cuba lari daripada realiti. Ada yang berpendapat, walaupun tidak semudah seperti disangkakan, anda perlu menerimanya dengan hati terbuka demi peningkatan atau kemajuan diri yang lebih baik.

Tiada manusia sempurna

Realitinya, ada sesetengah perkara yang dilakukan, orang lain boleh menegur, memberi nasihat atau kata-kata semangat kepada anda. Asasnya, tiada manusia yang sempurna atau dalam kata lain, semua perkara yang dilakukan ada kala betul dan bertepatan tetapi bukanlah mustahil kesilapan boleh berlaku.
Justeru, jika anda dikritik, ia perlu lihat dari sudut positif dan negatif. Jangan bersedih hati, sebaliknya bersabar dan belajar menerima kritikan itu. Terima kritikan dengan minda terbuka dan hati yang positif. Ambil masa untuk muhasabah diri dan perbaiki kelemahan diri.

Di sini, beberapa panduan mudah untuk sentiasa positif, khususnya dalam membina kerjaya anda.

Mendengar dengan sepenuh tumpuan

Mendengar dengan penuh perhatian akan menjadikan kritikan sebagai galakan untuk meningkatkan produktiviti, sekali gus mengetepikan andaian negatif bahawa kritikan itu sengaja menjatuhkan reputasinya.

Jangan cuba mempertahankan diri

Tindakan itu hanya menyukarkan anda menjadi lebih baik terutama apabila individu yang memberikan kritikan adalah majikan sendiri. Keadaan itu akan menjejaskan hubungan di tempat kerja, sekali gus menyukarkan anda meningkatkan pencapaian kerja hingga menjejaskan kenaikan pangkat berikutan majikan mengandaikan kakitangan itu sukar mengakui kelemahan dan tidak berusaha mengatasinya.

Ambil masa sebelum bertindak

Sebaiknya, cuba menarik nafas panjang dan membuat kiraan sepuluh bagi menenangkan diri. Jika perlu, cuba untuk tidur. Ini bagi membolehkan kita membuat pertimbangan sewajarnya dan tidak mengambil tindakan terburu-buru, sekali gus mengelak timbul kekesalan di kemudian hari. Paling penting, kerja adalah kerja, sesuatu kritikan itu bertujuan membina.

Berhenti menuding jari kepada pihak lain

Mengakui kesilapan diri, namun tetap menyalahkan pihak lain bukan tindakan baik. Sepatutnya, anda perlu bersikap bertanggungjawab dan memohon maaf supaya kesalahan tidak berulang. Tiada siapa sempurna dan semua orang melakukan kesalahan.

Jangan takut dikritik

Kritikan tidak menjejaskan seseorang. Justeru, jangan takut dikritik supaya anda tidak dihantui perasaan negatif hingga menjejaskan keupayaan diri. Dengan memberikan perhatian kepada kritikan orang yang kita hormati, kita akan memperoleh input positif. Perspektif lain, sekiranya tiada sebarang kepentingan, anggap ia sebagai kritikan yang tidak menjejaskan kerana mereka itu cemburu pencapaian anda.

Sebenarnya bukan mudah untuk mengukir senyuman dan menerima secara terbuka setiap kritikan, namun ia adalah kemahiran yang boleh dikuasai. Pastikan ia menjadi strategi yang mampu meningkatkan keupayaan diri bagi membangunkan potensi diri. Justeru, terima segala kritikan dengan tenang dan anda merasai kelainannya.

No comments:

Post a Comment

Any comments??? Please Share...
Sebarang komen??? Silakan...

The Most Popular Traffic Exchange