Showing posts with label Soal Jawab. Show all posts
Showing posts with label Soal Jawab. Show all posts

Wednesday, July 2, 2014

SOAL JAWAB: Hukum Memakai Contact Lens Ketika Puasa atau Solat

Assalamualaikum, Saya ingin bertanya dan mendapatkan kepastian tentang penggunaan  contact lens (kanta lekap) semasa solat, puasa, adakah sah ibadatnya? Dan di dalam islam bolehkan seseorang itu menggunakan contact lens samada menpunyai masalah rabun atau sekadar pakai suka-suka?


Jawapan:

Ada dua tujuan memakai kanta lekap:

1. Tujuan perubatan; iaitu orang yang memakainya kerana masalah mata yang dihadapinya, iaitu ia memakainya sebagai ganti cermin mata. Hukumnya adalah harus dengan syarat tidak mendatang mudarat kepada mata.

2. Tujuan perhiasan; iaitu memakainya sekadar suka-suka, bukan kerana keperluan (yakni bukan kerana masalah mata). Ia masuk dalam hukum perhiasan. Perhiasan diharuskan selagi tidak melanggar batasan Syara, iaitu:

a) Tidak mendedahkan aurat dan berlaku tabarruj
b) Tidak mendatangkan fitnah iaitu menimbulkan ghairah orang lain –terutamanya wanita- (yakni tidak harus wanita memakai perhiasan yang boleh mendatangkan ghairah atau mencuri perhatian lelaki kepadanya).
c) Tidak mengubah ciptaan Allah.
d) Tidak berupa penipuan atau pemalsuan.
e) Tidak menyerupai perbuatan orang kafir
f) Tidak berlebihan.
g) Tidak memudaratkan

Merujuk kepada syarat-syarat di atas, sebahagian ulamak telah memfatwakan haram memakai contact lens yang berwarna (yakni mengubah warna mata yang asal) kerana ia mengubah ciptaan Allah, berupa penipuan/pemalsuan dan meniru perbuatan orang kafir di samping ia memudaratkan sebagaimana disahkan oleh para doctor sendiri. Di tambah lagi bagi perempuan, ia boleh menimbulkan fitnah (iaitu mencuri perhatian lelaki kepadanya).[1]

3. Adapun penggunaan contact lens semada mengambil wudhuk, solat dan puasa; ia tidak menjejaskan ibadah-ibadah tersebut kerana bahagian dalam mata tidaklah wajib dibasuh atau disampaikan air ketika mengambil wudhuk atau ketika mandi (yang wajib ialah bahagian luar sahaja iaitu kelopak mata). Begitu juga dengan puasa; menurut ulamak memasukkan sesuatu ke dalam mata tidaklah membatalkan puasa. Solat pun begitu juga; tidak ada yang akan menjejaskan solat kerana contact lens.

Wallahu a’lam.

Rujukan;
1. Fatwa Syeikh Abdullah bin Abdurrahman al-Jibrin (http://www.ibn-jebreen.com/).
2. Fatwa Syeikh Mohammad Soleh al-Munajjid (http://islamqa.com/).
3. Fatwa Syeikh Dr Ahmad al-Hija al-Kurdi (http://www.islamic-fatwa.com/)

Sumber: Islam Itu Indah

SOAL JAWAB: Adakah Memakai Gincu Bibir Batal Puasa?

Assalamualaikum, terima kasih ustaz atas perkongsian ilmu yang dapat saya manfaatkan. di sini saya ada sedikit kemusykilan. adakah benar pemakaian gincu akan menyebabkan puasa terbatal? bagaimana sekiranya menyapu pelembab bibir? terima kasih.

Jawapan:
1. Dari segi puasa, memakai gincu atau pelembab bibir tidaklah membatalkan puasa jika dapat dijaga jangan sampai bahan dari gincu itu bercampur dengan air liur dan tertelan ke dalam kerongkong. Hukumnya sama seperti menggunakan ubat gigi ketika sedang berpuasa. Jika bahan dari ubat gigi tidak masuk ke dalam kerongkong (yakni kita menggosok gigi dengan menjaga jangan sampai tertelan bahan dari ubat gigi itu) tidaklah membatalkan puasa kita.

2. Dari segi hukum berhias, tidak harus wanita Islam memakai gincu bibir yang terlalu menonjol warnanya yang menarik perhatian lelaki kepadanya. Itu termasuk dalam tabarruj yang dilarang agama. Sebaiknya gincu bibir berwarna hanya dipakai isteri untuk suami sahaja di rumah. Adapun yang sederhana yang sekadar mengekalkan warna asal bibir atau untuk melembabkan bibir sahaja, insya Allah diharuskan.

3. Satu lagi perlu dingatkan; bahan-bahan solekan yang digunakan (sama ada losyen, gincu, bedak muka dan sebagainya) wajib dipastikan ia bersih dan suci, iaitu bebas dari bahan-bahan najis seperti lemak babi, gelatin haiwan yang syubhah dan sebagainya. Di samping hendaklah dipastikan juga tidak mendatang mudarat kepada kulit atau badan kerana setiap yang memudaratkan adalah dilarang dalam Islam.

Wallahu a’lam. oleh USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
 
Sumber : Islam itu indah
The Most Popular Traffic Exchange