Berusahalah seboleh mungkin mencari doktor atau bidan wanita di tempat puan ketika mengadakan pemeriksaan bulanan. Tidak perlulah mesti mencari yang pakar dalam bidang sakit puan ketika pemeriksaan tersebut, kerana ketika pemeriksaan bulanan bukan dalam keadaan darurat. Namun jika mengalami masalah tertentu yang memerlukan rujukan para pakar sakit puan, maka ketika itu ada keringanan menurut Islam demi mementingkan keselamatan puan sendiri. Jika tidak mengalami kesukaran untuk pergi ke Tanah Besar, lakukanlah bersama-sama suami, kerana pemeriksaan ini hanya dilakukan sebulan atau dua bulan sekali.
Kita sekadar berikhtiar atau berusaha untuk mencari yang terbaik untuk diri dan agama kita, namun jika mengalami kesukaran kita serahkan kepada Allah SWT, maka insya Allah niat baik yang tersimpan dalam hati kita itu akan mendapat pahala daripada Allah meskipun tidak sempurna pelaksanaannya. Seandainya niat suci demi menjaga akhlak dan diri itu dapat terlaksana bererti kita telah menang dalam perjuangan menegakkan kebenaran dan kemurnian Islam dalam rumahtangga kita sendiri. Maka besarlah nilai perjuangan dan jihad puan dalam mencari sesuatu yang bererti dalam Islam, meskipun perkara tersebut telah dipandang remeh oleh orang-orang Islam yang lain.
Biarlah kita bersusah-payah dalam menegakkan kebenaran, bahkan jika kita ungkapkan perkara ini kepada sesetengah orang, mereka akan beranggapan kita kolot, tidak berpendidikan dan sebagainya. Memang tepatlah ungkapan sebuah hadis yang mengatakan bahawa Islam pertama sekali datang itu dianggap aneh dan akhirnya ketika dunia hampir kiamat nanti, Islam juga dianggap aneh. Ketika agama Islam pertama sekali datang, semua orang merasa aneh melihat kebenaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad, ketika ini pun jika kita mengatakan perkara yang benar tentang Islam, orang ramai melihat perkara tersebut menjadi aneh, disebabkan yang ada disekitar kita kebanyakannya perkara yang bertentangan menurut ajaran Islam.
Berusahalah menurut kemampuan masing-masing dalam menegakkan nilai-nilai Islam ini, jika saat melahirkan nanti pihak puan tidak menemukan doktor wanita Islam untuk menyambut kelahiran tersebut, maka perkara ini tergolong darurat atau kemudahan yang diringankan dalam Islam. Jangan terlalu memikirkan perkara ini sehingga mengganggu kosentrasi puan yang akan menjejaskan kedudukan janin dalam kandungan. Berusahalah dan serahkan kepada Allah, maka insya Allah segalanya akan dimudahkan oleh-Nya nanti. Pihak kami juga mendoakan agar puan melahirkan anak yang pertama ini dalam keadaan aman dan selamat serta melahirkan anak yang soleh/solehah yang diredhai-Nya. Amin.
No comments:
Post a Comment
Any comments??? Please Share...
Sebarang komen??? Silakan...