12 July 2013
Oleh : Isma Adeliya
Samirah melangkah penuh yakin, menghampiri banglo setingkat yang berdiri gagah di hadapannya. Loceng pagar ditekan dan sebentar kemudian pagar yang diperbuat daripada besi tempawan itu terbuka dengan sendirinya. Tidak sampai seminit muncul seorang wanita berusia sekitar 50-an di hadapannya.
Bermula daripada hari ini, dia akan tinggal bersama Aunty Kelly, sepupu ayahnya. Sepatutnya wanita dengan nama sebenar Kalisah Ridzuan itu dipanggilnya Mak Su tetapi semenjak kecil Samirah sudah diarahkan memanggilnya Aunty Kelly. Aunty Kelly menetap di banglo itu bersama suaminya Samsudin dan anak bongsunya Aish Mirza. Dua lagi anaknya, Jefri Mirza dan Ain Mirza sudah berumahtangga dan menetap di rumah masing-masing.
**********
Samirah menyusun pakiannya di dalam almari. Selesai menyusun, dia duduk di birai katil. Matanya melilau ke seluruh bilik. Dalam hati melafazkan syukur ke hadrat Illahi, berterima kasih kerana memudahkan urusannya. Mujurlah ada Aunty Kelly yang sudi menumpangkannya sementara dia dapat menyewa rumah lain. Tawaran kerja yang diperolehi mengkehendakinya segera melaporkan diri, jadi dia belum sempat mencari rumah sewa. Papa yang mencadangkan agar tinggal dulu dengan Aunty Kelly.
Teringkatkan Papa, hati menjadi sayu. Kepulangannya dari luar negara setelah habis pengajian hanya disambut oleh Papa seorang. Sedangkan dua hari sebelum penerbangannya, Mama berjanji akan mengambilnya di KLIA bersama-sama dengan Papa. Rupa-rupanya ada sesuatu yang besar telah berlaku di antara Papa dan Mama. Enam bulan mereka merahsiakan perkara itu dari pengetahuan Samirah.
Hancur luluh hati Samirah bila Papa menceritakan hal yang sebenar kepadanya. Sungguh dia tidak faham mengapa perkahwinan yang sudah terbina selama 26 tahun boleh musnah. Bukankah tempoh itu sudah cukup panjang untuk Mama dan Papa mengenali hati budi masing-masing? Tidakkah mereka saling memahami, menerima kekuatan dan kelemahan masing-masing dan sepatutnya boleh berkompromi? Mengapakah perceraian menjadi pilihan untuk menyelesaikan kemelut yang melanda?
Samirah buntu memikirkannya. Lebih mengecewakan apabila abang juga turut merahsiakan perkara ini daripada pengetahuannya. Alasan yang mereka berikan ialah tidak mahu mengganggu konsentrasi Samirah yang akan menghabiskan pengajiannya.
Samirah menarik nafas dalam-dalam sebelum dilepaskan perlahan-lahan. Cukuplah dua bulan dia bersedih. Hidup mesti diteruskan biarpun berbagai rintangan yang perlu ditempuhi. Selagi dia yakin Allah sentiasa ada untuknya, selagi itu dia akan mengharungi hidup ini dengan kecekalan.
**********
Jam loceng berbunyi tepat jam 3.30 pagi. Aish meraba jam loceng yang membingitkan telinganya dan mematikan jam tersebut. Kemudian bangun, duduk tegak di atas katil, mengeliat sedikit dan menurunkan kakinya ke lantai. Berjalan ke bilik air, mencuci muka dan menggosok gigi. Keluar dari bilik air dia memeriksa telefon bimbitnya, kalau-kalau ada pesanan atau miss call. Telefon dipegang kemas lalu turun ke bawah.
TV dihidupkan. Sebentar lagi akan berlangsung perlawanan bola di antara Liverpool dengan QPR. Kalau sudah makan bola, tidur bola, mimpi bola, mana ada perlawanan yang boleh diabaikan. Tidak kira pasukan mana yang bermain, MU ke, Chelsea ke, Real Madrid ke, Barcelona ke, atau pasukan-pasukan lain, harus bagi Aish menontonnya. Lebih-lebih lagi kalau Chelsea dan MU, dua pasukan kegemarannya yang bermain. Sanggup bersengkang mata untuk bola.
Leka menonton bola, tiba-tiba tekak terasa kering. Aish mengerling tempoh perlawanan yang dipamerkan di sudut kiri skrin tv. Lima minit lagi separuh masa pertama akan berakhir. Ah, tunggu sajalah. Lima minit bukannya lama.
Sebaik sahaja perlawanan separuh masa pertama ditamatkan, Aish bergegas ke dapur. Jarak ruang menonton dengan dapur agak jauh. Sampai di dapur, terus dia meluru ke peti sejuk. Pintu peti sejuk dibuka, sebotol air sejuk dicapai. Tak sempat mengambil gelas, terus dibuka penutup botol dan digogok air yang dingin. Terasa nyaman tekaknya bila air dingin itu mengalir. Belum puas, digogok lagi air sejuk sambil matanya menyorot ke arah meja makan di dapur. Tiba-tiba mata Aish tertancap pada satu susuk berpakaian serba putih, dari atas ke bawah. Makhluk itu duduk tegak di atas kerusi, matanya bulat memandang ke arah Aish sambil mulutnya terbuka.
Aish pegun. Botol air di tangan terlepas. Kaki terasa sejuk dijamah air yang mengalir keluar daripada botol. Aish mahu cabut dari situ tetapi kakinya bagai dipaku di lantai. Pintu peti sejuk yang digenggam dengan tangan kanan terlepas. Suasana semakin gelap. Makhluk itu tiba-tiba bangun.
“Ha….han….hantu!!!” jerit Aish.
Ash menutup matanya rapat-rapat. Dadanya berdegup laju. Mulutnya kumat kamit membaca surah Al Fatihah. Bacaannya lintang pukang dek terlalu takut. Sebutan Bismillah pun entah jadi apa. Sudah lapan bulan keluarganya menetap di banglo ini, inilah kali pertama dia mengalami suasana yang menakutkan ini.
Tak semena-mena terdengar pula suara perempuan ketawa. Aish semakin takut, namun diberanikan juga dirinya. Kali ini dibaca pula surah Al Alaq. Dibaca kuat-kuat biar hantu itu dengar dan takut. Namun ketakutan yang menjalar dalam hati menyebabkan bacaannya jahanam. Bunyi ketawa kedengaran semakin hampir dengannya. Aish dapat rasakan hantu itu bergerak menghampirinya. Matanya dirapatkan lagi hingga berkerut mukanya. Dibaca pula surah An Nas. Sama juga, bacaannya tetap ke laut. Tetapi dia berjaya menghentikan hilai tawa hantu itu.
“Abang Aish!” suara lembut memanggilnya.
“Abang Aish! Ni bukan hantu! Ni Iralah!”
Ira? Siapa Ira? Selain daripada Mama dan Papa, bukankah aku saja yang tinggal di rumah ni. Bila pula ada orang bernama Ira dalam rumah ni? Fikir Aish.
“Abang Aish! Buka mata!”
Kerutan di muka Aish berkurangan. Rasa takut mula surut. Sedikit-sedikit mata dibuka. Bermula dengan mata kiri, kemudian mata kanan. Bila kedua-dua mata sudah terbuka luas, terpampang di depannya satu wajah mulus berbalut telekung. Wajah yang dihiasi sepasang mata yang bundar dan bibir yang cantik menguntum senyuman.
“Hish! Ingatkan hantu! Kau siapa?” Aish buat muka garang. Tidak suka dengan senyuman mengejek pada wajah manis itu.
“Oh Abang tak kenal Ira lagi? Saya Ira, anak Uncle Baharin. Semalam masa saya sampai, Abang tak ada di rumah.” Samirah memperkenalkan dirinya.
MasyaAllah! Aish menepuk dahinya. Baru dia teringat Mama ada memberitahu sewaktu bersarapan semalam Ira akan menetap di rumah mereka.
“Yang awak duduk tercongok kat meja tu dalam gelap buat apa?” Aish masih geram.
“Kopi” jawab Ira sepatah, sambil tangannya yang menggenggam sebiji mug diangkat. Kemudian dia berjalan melintasi Aish menuju ke sinki.
“Kenapa pakai macam ni? Kenapa tengok saya sambil terbeliak biji mata, mulut terlopong? Mestilah saya ingat hantu!” Aish masih tidak puas hati.
“Ira baru habis solat. Dah Abang Aish tiba-tiba je meluru ke dapur, mestilah Ira terkejut! Pakaian tu pulak, tak senonoh langsung!” Ira terus berlalu, menuju ke bilik tetamu di sebelah ruang menonton tv yang kini menjadi biliknya.
Aish memandang Samirah yang berlalu pergi dengan dahi berkerut.
“Solat apa pagi-pagi macam ni?” dia merungut sambil wajahnya ditundukkan, melihat pakaian yang melekap di badannya. Baru dia sedar dia hanya memakai boxer. “OK apa, bukan ada orang nampak” Aish merungut lagi.
**********
“Ala, lecehlah Ma. Kenapa pulak Aish?”
“Habis, Aish nak suruh Mama atau Papa? Kami kan dah tak kerja. Aish seorang saja yang keluar pagi, balik petang. Sedang eloklah dia tumpang Aish!” suara Puan Kalisah meninggi memarahi anak bongsunya.
“Tak pasal-pasal Aish kena keluar awal. Suruhlah dia naik bas ke, teksi ke.” Aish masih cuba mengelak dari menghantar dan menjemput Samirah ke pejabat setiap hari. Habislah terganggu rutin hariannya nanti.
“Aish Mirza, cuba bercakap tu pakai akal! Mana ada bas masuk kawasan perumahan ni. Lagipun dia baru mula kerja, mana cukup duit dia nak bayar tambang teksi. Setakat keluar 15 minit lebih awal daripada biasa pun kamu nak berkira? Dia tu saudara kamu!”
**********
Sudah dua minggu Samirah bekerja di Kolej SEGI di Pulau Pinang. Bermakna sudah dua minggu dia menumpang kereta Aish Mirza untuk pergi dan balik kerja. Bermakna juga sudah dua minggu dia menadah telinga mendengar segala rungutan dan leteran Aish. Waktu pagi tiada masalah kerana dia memang cepat bersiap. Tetapi waktu petang adalah di luar kawalannya. Bukannya dia suka-suka boleh keluar pejabat tepat jam 5.30. Hari ini pun terkejar-kejar dia menyiapkan kerja dan bergegas turun pada pukul 5.40. Lif pula penuh, terpaksa menunggu lif yang berikutnya.
“Lambat lagi!” keras nada suara Aish bila Samirah memasuki keretanya lebih kurang jam 5.50 petang.
Samirah diam, tidak mahu membalas tegurannya.
“Kau tak ingat ke pagi tadi aku kata jangan lambat? Petang ni aku dah janji dengan Luna nak jemput dia pukul 6.30, ni dah lambat, aku jugak yang kena marah dengan Luna nanti. Luna tu pantang kalau aku lambat sikit, merajuk berhari-hari jadinya. Aku jugak yang teruk kena pujuk dia. Susah sangat ke kau nak punctual?”
Aish membebel. Samirah mendiamkan diri. Dalam hati berdoa agar jalanraya tidak sesak petang ini agar mereka cepat sampai rumah. Kalaulah dia bersayap, mahu sahaja dia meloncat keluar dari kereta ini dan terbang ke rumah. Namun
apakan daya, setakat ini dia hanya mampu menumpang Aish. Kalau tidak kerana Mama, tentu dia tidak mencari kerja di Pulau Pinang. Demi Mama dan Papa, biarlah dia menanggung sedikit kesusahan.
Telefon di dalam beg berbunyi. Bagus juga ada panggilan, boleh mematikan bebelan Aish Mirza. Samirah tersenyum tatkala melihat nombor papanya di skrin. Salam diberi dan kemudian dia bertanya khabar papa. Selepas itu Samirah diam. Lama diamnya, mendengar dengan penuh khusyuk apa yang dibicarakan oleh papanya.
“Papa, boleh tak papa mesejkan alamatnya? Ira dalam kereta sekarang, tak ada pen dan kertas. Boleh..?”
Belum sempat Samirah menghabiskan ayatnya, Aish menghulurkan sebatang pen yang ditarik daripada kocek bajunya.
“Papa sekejap,” segera Samirah mencapai pen tersebut. Butang speaker di telefon ditekan. Kemudian dia mengorek begnya mencari kertas. Terjumpa sekeping resit. Diterbalikkan resit tersebut.
“OK papa, apa alamatnya?”
**********
Samirah membaca semula alamat di atas resit yang dia perolehi daripada papanya semalam. Teluk Bahang, di mana tempat ini ya? Jauhkah dari sini? Kalau dekat aku boleh pergi sendiri, tetapi kalau jauh bagaimana hendak ke sana, aku bukannya ada kenderaan. Semua persoalan itu berlegar di minda Samirah.
Dia turun dari katil lalu bergerak ke meja tulis. Komputer riba dihidupkan. Modem jalur lebar dicucuk di sisi komputer ribanya. Sebentar kemudian dia melayari laman Google dan membuka beberapa laman sesawang yang disenaraikan oleh Encik Google setelah kata carian “teluk bahang” ditaip. Hati merasa lega apabila maklumat yang diperolehi menunjukkan tempat tersebut tidak terlalu jauh. Malahan dari Google Map dia berjaya mendapatkan laluan yang perlu diambil untuk ke Teluk Bahang.
Setelah komputer ribanya dimatikan, Samirah segera keluar. Niatnya mahu memberitahu Aunty Kelly bahawa dia ingin meminjam kereta Aunty Kelly pada hari Sabtu nanti. Dia mencari Aunty Kelly di dapur, tetapi Aunty Kelly tiada di situ. Di ruang makan juga tiada, di ruang menonton pun sama. Matanya mengerling jam di dinding, baru pukul sepuluh malam. Lazimnya di waktu begini Aunty Kelly dan Uncle Sam menonton tv bersama-sama, satu aktiviti yang dikagumi oleh Samirah kerana mama dan papanya jarang sekali menonton tv bersama-sama. Samirah bergerak ke tingkap. Langsir diselak sedikit dan dia mengintai keluar. Kereta Uncle Sam tidak kelihatan, maknanya mereka berdua mungkin keluar sebentar.
“Intai apa tu?” suara garau yang menegur dari belakang membuatkan Samirah terkejut hingga terjerit kecil. Dia berpaling. Aish Mirza dengan wajah serius memandang tepat ke arahnya dengan pandangan yang tajam. Samirah mengurut dadanya sambil menjeling ke arah Aish.
“Tak reti ke nak bagi salam dulu? Buat orang terkejut saja,” marah Samirah.
“Suka hati akulah nak bagi salam ke tidak.” Seperti biasa jawapan yang keluar daripada mulut Aish Mirza pasti menyakitkan hati. Sejak hari pertama dia tiba di sini, Samirah dapat merasakan Aish Mirza tidak menyenanginya. Suka atau tidak, tidak penting baginya. Yang penting Aunty Kelly dan Uncle Sam menerimanya dengan baik. Lagipun dia hanya tinggal sementara di sini. Cukup masanya dia akan pergi. Berpindah ke rumah sewa atau mungkin pulang ke Kuala Lumpur.
“Aunty Kelly mana?”
“Nak buat apa cari Mama aku?”
“Nak pinjam kereta.” Dengan jujur Samirah memberitahu.
“Buat apa?” Aish menyoal dengan wajah masam mencuka. Matanya bulat merenung wajah Samirah. Dia mara beberapa tapak mendekati Samirah. Tindakan yang menimbulkan rasa tidak senang di hati Samirah. Baru dia sedar hanya mereka berdua di rumah ketika ini. Tidak wajar dia berada lama di sini.
“Tak apalah,” jawab Samirah ringkas dan bergerak ke kanan, mahu meninggalkan ruang tamu. Sepantas kilat Aish turut bergerak ke kiri, menghalang laluan Samirah. Samirah mula rasa cuak. Apahal mamat ni, main haling-halang orang pula. Getus hatinya. Risau juga, dalam keadaan berduaan begini, kalau-kalau makhluk dilaknati Allah memainkan peranan menghasut niat jahat ke dalam hati Aish.
“Cakap dulu, kenapa nak pinjam kereta Mama?” Aish kini bercekak pinggang di hadapannya.
“Ira nak pinjam kereta Aunty, bukan kereta Abang Aish. Yang Abang sibuk kenapa?” Samirah mula hilang sabar hingga hilang juga kesopanan bicaranya.
“Kau duduk rumah aku, jangan nak berlagak ya. Apa yang aku tanya, jawab.” Aish Mirza pula mula hilang sabar dengan sikap Samirah. Kakinya melangkah setapak ke hadapan, mendekati Samirah. Debaran mula terasa di dada Samirah. Jantungnya berdegup kencang. Terasa wajahnya membahang, tidak pasti apakah kerana marah atau gugup dek kedudukan
Aish Mirza yang sangat hampir dengannya.
Namun Samirah tidak mahu mengalah. Selama ini dia bersabar dengan sikap Aish. Tetapi malam ini dia tidak akan mengalah. Diangkat wajahnya, mendongak sedikit memandang muka Aish. Dua pasang mata bertembung. Dan dua hati sama berdebar.
“Kalau Ira tak nak jawab?” entah dari mana datangnya keberanian, Samirah menuturkan soalan yang bagaikan mencabar kesabaran Aish. Dia yakin Aish tidak akan berani mengapa-apakannya. Namun sebagai langkah berjaga-jaga, kaki mengundur setapak ke belakang.
Aish pula maju ke depan, memaksa Samirah berundur lagi. Senyuman sinis tersungging di pinggir bibirnya. Nak main-main dengan aku ya, kau belum kenal siapa Aish Mirza, hatinya berbisik. Matanya tetap lekat pada anak mata Samirah yang tajam merenungnya. Aish menundukkan kepala, merapatkan wajahnya dengan Samirah. Samirah terpempan. Jantung berdegup semakin laju. Ingin berundur lagi namun langkahnya tersekat kerana belakangnya sudah tersandar pada dinding. Tidak sanggup lagi menatap renungan Aish yang bagaikan menembusi jantungnya, ditutup matanya rapat-rapat. Tidak pernah dia berdiri serapat ini dengan mana-mana lelaki. Keberanian yang tadinya menggunung, kini ranap. Terasa menyesal menurut kata hati.
“Ira” lembut suara Aish memanggil, terdengar dekat di telinganya. Mujurlah dia bertudung, jika tidak pasti hembusan nafas Aish akan terasa di telinganya. Jari Aish kini lekat di dagunya, menjungkitkan mukanya ke atas.
“Betul ni kau tak nak jawab?” soal Aish. Samirah membuka mata dan serentak itu air jernih menitis dari kelopak matanya. Rasa takut menyelubungi dirinya. Walaupun wajahnya kini mendongak, anak matanya dilarikan ke bawah, tidak sanggup menentang renungan Aish.
“Ira… Ira nak pergi… cari… mama” akhirnya dijawab pertanyaan Aish, dengan suara yang tersekat-sekat dan diselangi esakan. Dengan segala kudrat yang ada, ditolak dada Aish dan pantas dia berlari ke biliknya.
Aish kaku. Matanya hanya mampu melihat Ira berlari dan menghilang. Terasa bagaikan satu ketulan besar tersekat di kerongkongnya.
**********
Perjalanan ke pejabat yang mengambil masa 20 minit terasa bagaikan 20 jam. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Samirah menongkat dahi dengan tangannya disandarkan ke tingkap kereta, matanya memandang ke sisi di sepanjang perjalanan.
Memang mereka jarang berbual sepanjang perjalanan pergi dan balik. Namun pagi ini terasa amat janggal. Aish tahu dia bersalah dalam hal ini. Niatnya hanya mahu menyakat, tidak disangka dia telah menakutkan Samirah. Kalaulah perkara ini sampai ke pengetahuan mama dan papanya, pasti dia akan teruk dimarahi mereka.
Aish berdehem, cuba untuk memancing perhatian Samirah tetapi gadis itu tetap memandang ke luar, tidak berpaling walau seinci pun. Dan apabila keretanya berhenti di hadapan kolej, Samirah terus keluar. Tiada ucapan terima kasih dan lafaz “assalammualaikum”, seperti lazimnya.
Situasi yang sama berterusan di waktu petang. Aish memandu sambil berlagak tenang, namun di sudut hati tersisip rasa bersalah yang amat mendalam.
“Bila nak pergi cari mama kau?” akhirnya Aish memulakan bicara. Samirah berpaling. Direnungnya Aish yang sedang memandu. Betul ke dia tanya ni, hati Samirah berbisik. Mukanya dipaling semula ke hadapan.
Giliran Aish pula berpaling, memandang Samirah yang sedang merenung jalan raya di hadapan. Lampu isyarat bertukar hijau, Aish meneruskan pemanduan.
“Dengar tak aku tanya tadi?” soal Aish, tetapi kini dengan nada lembut, tiada nada tegang atau sinis seperti lazimnya.
“Kenapa nak tau?” Samirah menjawab dengan soalan.
“Ira, jangan cari pasal boleh tak? Jawab sajalah soalan aku. Aku tak mahu kita bergaduh macam malam tadi.”
Samirah bagaikan tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya. Betulkah pendengarannya, atau si Aish yang tersalah cakap? Apa yang terjadi malam tadi bukan salahnya, Aish yang mulakan dahulu.
“Ira,” kali ini suara Aish meninggi sedikit, mungkin bosan menanti jawapan daripada Samirah.
“Esok.” Akhirnya Ira menjawab.
“Pukul berapa?”
“Pagi, pukul 9.”
“Aku bawakan kau pergi.”
Samirah menoleh ke arah Aish yang tetap memandang ke hadapan. Biar betul mamat ni, aku tak minta tolong, dia sendiri menawarkan diri. Rasa was-was mula bersarang dalam hati. Entah-entah dia nak kenakan aku, bisik hatinya.
“Tak apalah, Ira pergi sendiri. Nanti malam Ira cakap dengan Aunty nak pinjam kereta dia.”
“Kau tau ke jalan-jalan kat Penang ni?”
“In sya Allah, boleh cari. Google maps kan ada.” Ira menjawab penuh yakin.
“Tengok alamatnya,” pinta Aish sambil tangannya disuakan ke Samirah.
Samirah pandang Aish lagi. Mata Aish tetap ke jalanraya, tetapi tangan sebelah kiri disuakan ke Samirah. Akhirnya dengan perlahan Samirah keluarkan resit dari dalam beg tangannya dan diberikan kertas kecil itu kepada Aish. Setelah membaca tulisan di atas resit itu, Aish kembalikannya kepada Samirah.
“Aku minta maaf.”
Samirah menoleh lagi ke kanan. Dahinya berkerut, matanya membulat memandang Aish.
“Pasal malam tadi, aku minta maaf.” Bagaikan mengerti apa yang bermain di minda Samirah, Aish ulangi permohonan maafnya.
“Aku tak sengaja. Don’t worry, it won’t happen again.”
**********
Samirah merenung Selat Melaka di hadapannya. Airmata menitis deras di pipinya. Apa yang dilihatnya tadi terbayangbayang di hadapan mata. Minggu lepas, dengan bantuan Aish yang tetap berkeras mahu membawanya mencari mama, dengan mudah mereka berjumpa alamat yang diberikan oleh papanya. Nasib tidak menyebelahinya kerana tiada yang membuka pintu apartment di tingkat tujuh. Hari ini mereka datang lagi, namun belum sempat Samirah dan Aish naik ke tingkat tujuh apartment, Samirah nampak mamanya. Tetapi apa yang dia nampak bukanlah sesuatu yang dijangka. Malah sangat-sangat di luar jangkaan dan membuatkan hatinya remuk. Kecewa dan sedih bersatu. Dia kaku memandang mama berjalan sambil berpegangan tangan dengan seorang lelaki muda.
Mamakah itu? Kenapa mama jadi begitu? Kenapa pakaian mama tidak seperti apa yang biasa mama pakai? Mana hilangnya tudung yang menutup aurat mama? Siapa lelaki itu? Kalau dia bukan muhrim mama, mengapa mama sanggup bersentuhan dengan lelaki itu? Patutlah kata abang dia hanya berjumpa dengan mama sekali sahaja dan dia tidak mahu berjumpa lagi dengan mama.
“Ira,” lembut suara Aish memanggil, membawa Samirah kembali ke alam nyata. Samirah berpaling ke arah Aish. Sapu tangan yang dihulurkan Aish disambut, lantas airmatanya dikesat. Habis dikesat, tumpah pula airmata yang baru. Samirah terlalu sedih, hingga tidak mampu berhenti menangis.
“It’s ok to cry, for crying can heal your pain and wash away your sorrow.”
Samirah mengangguk, mengiyakan kata-kata Aish.
“Ira tak sangka,” katanya dengan suara yang serak dek tangisan yang berterusan.
“Masa baru balik dari US, bila papa bagitau mereka dah bercerai, Ira nangis. Ira call mama, tapi mama tak nak bagitau kenapa mereka bercerai dan tak nak Ira tau di mana dia tinggal. Ira nangis lagi. Dua bulan Ira bersedih. Tapi tak sama dengan hari ni. Bukan sedih dan kecewa saja, Ira malu. Kenapa mama jadi macam tu?”
“Dia tetap mama Ira. Dia mama yang baik kan? Mungkin dia terpengaruh, atau ada faktor lain yang menyebabkan dia berubah. Ira boleh bawa dia balik ke pangkal jalan.”
Aish menelan air liur. Bagaikan tidak percaya dia memberi nasihat. Sedangkan selama ini dia yang sering dinasihati. Oleh papa, mama, abang Jeff dan kak Ain, juga oleh kawan-kawan. Aish Mirza, anak bongsu yang banyak songeh hari ini bercakap bagaikan seorang lelaki yang matang kepada gadis manis bernama Samirah yang semakin dekat di hatinya.
Baik Aish mahupun Samirah tidak menyedari, tidak jauh daripada mereka, sepasang mata sedang memerhatikan mereka dengan hati yang membengkak.
**********
“Ira!”
Langkah Samirah mati tatkala mendengar namanya dipanggil dengan keras. Dia berpusing dan di hadapannya seorang gadis berambut perang, memakai t shirt sendat dengan seluar jeans paras lutut berjalan menghampirinya.
“Kenal aku?” soal gadis berwajah garang itu.
Samirah merenungnya dari atas ke bawah. Sudah tentu dia kenal. Inilah orangnya yang sering menyebabkan dia dimarahi oleh Aish sekiranya dia lambat keluar daripada pejabat.
“Cik Luna. Apa khabar?” Tanpa prasangka Samirah menghulurkan tangan untuk berjabat. Wajahnya dimaniskan dengan senyuman. Sebaliknya huluran tangannya tidak bersambut, senyumannya tidak berbalas.
“Kau tau kan Aish tu boyfriend aku?”
Soalan dijawab dengan anggukan.
“Good. Then stay away from him. Jangan ganggu buah hati aku!”
Dengan tegas Luna memberi arahan. Matanya tajam memandang Samirah. Kebencian, cemburu dan amarah yang membusung di dada tergambar di sebalik renungannya.
“Sorry Cik Luna, saya tak faham,” Samirah bersuara.
“Jangan buat-buat tak faham. Masa you baru datang sini, Aish bukan main menyampah dengan you. Sekarang ni dah jadi lain. Entah apa yang you dah buat. Aku nak bagi peringatan sekali lagi, jangan ganggu buat hati aku.”
Luna berlalu pergi, meninggalkan Samirah yang masih termangu-mangu.
**********
Samirah menyidai sejadah dan telekung. Di dalam hati dia melafazkan kesyukuran kerana berjaya bangun untuk bertahajjud. Sesungguhnya bukan mudah mengorbankan waktu tidur untuk bertahajjud kepada Allah. Keletihan, rasa mengantuk yang amat sangat dan rasa malas yang hebat seringkali menggagalkan rancangan untuk bersolat di sepertiga
malam. Kerana itulah Allah memberi ganjaran yang besar kepada hambaNya yang rela mengorbankan waktu tidur demi melaksanakan solat sunat ketika insan lain lena diulit mimpi.
Tekak terasa kering. Samirah membuka pintu biliknya. Belum sempat keluar, dia mendengar bunyi dari ruang menonton tv. Pastinya Aish Mirza sedang bergembira melayan siaran perlawanan bola sepak. Samirah mengenakan tudungnya sebelum keluar dan menuju terus ke dapur. Sampai di dapur, terasa hendak minum hot chocolate. Lalu dia menjerang air. Sementara air mendidih, paket kecil mengandungi Cadburry Hot Chocolate disiat dan isinya dituang ke dalam mug.
Tiba-tiba lampu di ruang yang menempatkan meja yang berdekatan dengan dapur dinyalakan. Aish Mirza datang menghampiri Samirah.
“Abang Aish, tengok bola?” soal Samirah. Dibalas Aish dengan anggukan.
“Nak minum?” Aish mengangguk lagi.
“Hot chocolate?”
“Boleh.”
Dua mug berisi hot chocolate diletakkan di atas meja. Samirah mengambil tempat duduk bertentangan dengan Aish.
“Ira bangun solat?”
Samirah sekadar mengangguk. Bibirnya dimuncungkan ke tepi mug, meniup sedikit hot chocolate yang masih panas.
“Ira bangun solat, saya pula bangun tengok bola. Malu saya dengan Ira. “ Ujar Aish perlahan. Matanya merenung mug di atas meja. Memang itulah yang dirasakan sekarang. Untuk bola, sanggup dia mengorbankan tidurnya. Untuk bertahajjud, belum tentu.
“Apa kata setiap kali abang Aish bangun untuk tengok bola, bangun awal sikit dan buat tahajjud dulu. Atau pun selepas habis game, abang Aish solatlah. Tengok bola dapat seronok tapi buat tahajjud dapat pahala” Samirah memberi cadangan.
Aish mengangguk. Dalam hati mengakui kebenaran kata-kata Samirah.
“Ira masuk dulu.” Samirah berdiri, mahu membawa mug yang sudah separuh kosong ke bilik. Tidak elok duduk berduaan dengan Aish.
“Ira,” laungan lembut Aish mematikan langkahnya. Wajah Aish direnung.
“Thanks.” Ujar Aish sambil tersenyum. Samirah merendahkan pandangan. Tidak sanggup menatap senyuman Aish. Entah kenapa, sejak akhir-akhir ini, jantungnya berdetak laju bila bertentang mata dengan Aish.
**********
“Are you okay?” soal Aish bila Samirah lama mendiamkan diri.
Samirah hanya mampu mengangguk. Airmata diseka dengan jari. Teringat pertemuan dengan mama petang tadi. Pertemuan yang kelima dalam masa dua bulan. Di akhir setiap pertemuan, dia memujuk mamanya agar kembali kepada papa, namun jawapan mama tetap sama. Kata mama dia bahagia dengan kehidupannya sekarang. Kata mama lagi bulan hadapan dia akan bernikah dengan Zaqeef, jejaka yang 13 tahun lebih muda daripadanya.
Dalam setiap doanya, Samirah memohon agar Allah memberi petunjuk kepada mama. Dia juga berdoa agar Zaqeef benar-benar ikhlas mahu mengahwini mama, dan dapat membawa mama kembali ke landasan yang benar. Samirah redha akan ketentuan ini. Dia sangat yakin di sebalik kejadian, ada hikmah yang Allah sembunyikan. Lambat laun hikmahnya pasti akan terserlah.
Samirah menarik nafas lega. Dada terasa lapang selepas menceritakan semuanya kepada Aish, sambil mereka berjalan menyusuri Gurney Drive. Aish yang dulu dingin terhadapnya kini sentiasa menghantar dan menjemputnya pada setiap pertemuan dengan mama, kemudian sudi pula mendengar segala luahan hatinya. Tiada lagi rungutan dan bebelan dari mulut Aish. Namun terselit juga rasa gusar di hati Samirah, khuatir kalau-kalau keakraban mereka disalah anggap oleh Luna. Kejadian Luna memberi amaran kepadanya dua bulan lepas terbayang semula di mindanya. Diceritakan peristiwa itu kepada Aunty Kelly, tetapi dia meminta Aunty Kelly merahsiakan dari pengetahuan Aish.
“Aish!” baru sahaja dia teringatkan Luna, muncul pula gadis berambut perang itu di hadapan mereka. Bulat matanya memandang Aish dan Samirah.
“Patutlah tak nak keluar dengan I, rupa-rupanya dating dengan budak ni!”
Baik Aish mahupun Samirah pegun, terkejut dengan kehadiran Luna.
“Hei perempuan! Kau tak faham bahasa ke? Kan aku dah bagitau jangan ganggu buah hati aku! Kau tentu tak suka kalau orang kacau boyfriend kau kan, so stay away from my boyfriend!”
Luna merenung tajam, bagaikan tembus anak mata Samirah dek renungannya. Kemudian berkalih pandang ke arah Aish. Terus bertukar riak wajahnya, dari bengis menjadi manis. Senyuman dilemparkan kepada Aish. Tangan Aish diraih.
“Aish, I miss you sayang. Kenapa dah lama tak call?”
“Call buat apa, you bukannya ada. Asyik fly aje.” Jawab Aish sambil menarik tangannya, namun genggaman Luna
semakin kuat.
“Mana ada, I fly few days a week je sayang. Lepas tu I terperap je kat rumah. Bosan tau.” Luna bercakap dengan gaya manja, bikin Samirah rasa menyampah melihatnya. Rupa-rupanya minah perasan ni stewardess, bisik Samirah di dalam hati. Samirah bergerak ke tepi, menjarakkan dirinya daripada mereka berdua.
“Kalau bosan ajaklah boyfriend you yang berderet-deret tu keluar. Kan you yang kata, kalau setakat orang macam I, berderet-deret nak jadi boyfriend you,” Aish bernada sinis. Memang itulah yang diucapkan oleh Luna ketika mereka bertengkar tiga minggu yang lepas.
“Memanglah I ramai boyfriend, but you know right, they are just friends. You sorang saja yang betul-betul buah hati I,” Luna bernada merengek. Aish semakin rimas, direntap tangannya daripada genggaman Luna. Samirah rasa hendak muntah, lantas dia angkat kaki.
“Listen carefully, I have never been your buah hati, you know that very well. I rasa you faham kalau I dah lama tak call you, maknanya this relationship can’t go. For your info, I ada buah hati lain dan I nak pesan jangan ganggu buah hati I.”
“Must be that bitch named Ira, right?” Luna bernada geram. Memang dia sudah agak Aish sudah jatuh hati dengan sepupunya itu, namun sebelum ini sering Aish menafikannya.
Menyirap darah Aish bila mendengar gelaran yang diberikan oleh Luna kepada Samirah. Dia tahu sebelum ini Luna pernah memberi amaran kepada Samirah. Hari ini, dia mahu memberi amaran yang sama kepada Luna.
“She’s not a bitch, she’s an angel. Orang macam kau tu yang layak dipanggil bitch. Aku nak ingatkan sekali lagi, jangan ganggu buah hati aku. Antara kita tak ada apa-apa hubungan. In case you forgot, we broke off three weeks ago.”
Aish beredar, meninggalkan Luna yang sedang bengang. Laungan Luna tidak dihiraukannya. Petang ini dia yakin dia telah membuat keputusan yang tepat memutuskan hubungan dengan Luna. Semakin lama mengenali Luna, dia tahu gadis itu tidak sesuai dengannya. Wajahnya cantik, tetapi akhlaknya kurang. Berlagak bagaikan mencintainya tetapi Aish tahu sebenarnya Luna sering keluar dengan lelaki lain. Ditambah pula dengan sikap kuat cemburu, suka mengongkong, perasan dan sentiasa mahu permintaannya dipenuhi, elok sangat mereka berpisah.
**********
“Sungguh ke Ira?” tanya Puan Kalisah. Ada nada sedih dalam suaranya. Samirah bagaikan penyeri rumahnya, teman berbual, kawan memasak dan pendamping sewaktu membeli belah. Suaminya dan anak-anaknya juga sukakan Samirah.
“Betul aunty. Dah tak ada sebab untuk Ira terus tinggal di sini. Mama tetap tak akan balik kepada kami. Lebih baik Ira balik KL, boleh temankan papa.”
Samirah juga sedih. Sudah tiga bulan dia menumpang di rumah Aunty Kelly, banyak jasa Aunty Kelly sekeluarga kepadanya. Dia pasti akan merindui keluarga ini.
“Habis tu, bila Ira nak balik?” soal Puan Kalisah. Dia tahu dia tidak berhak menghalang Samirah pulang.
“Lusa. Papa dan abang akan datang jemput Ira. Mereka pun dah lama tak ziarah aunty kan?”
Puan Kalisah hanya mampu mengangguk. Wajah Samirah direnungnya lama-lama.
Keesokan harinya dimaklumkan perkara itu kepada Aish. Nampak jelas wajah Aish berubah bila mendapat berita tersebut. Puan Kalisah yakin hanya Aish yang dapat menghalang Samirah dari pulang.
**********
Suasana di Gurney Drive riuh rendah dengan kehadiran penduduk tempatan dan pelancong di petang Sabtu. Ada yang menjamu selera, ada yang sekadar berbual-bual, ada juga yang berjalan-jalan di sepanjang pantai.
Aish Mirza merenung air laut yang membiru. Suasana redup dengan bayu yang berhembus lembut bagaikan selari dengan hatinya yang gundah gulana. Dia tidak mahu Samirah pulang. Wajah mulus Samirah yang duduk berhadapan dengannya ditenung. Hati menjadi tenang menatap wajah yang langsung tidak dicemari dengan secalit mekap pun. Namun keayuannya terserlah.
“Ira,” Aish memanggil lembut. Samirah mengangkat muka, memandang Aish. Mata mereka bertatapan. Dadanya tiba-tiba berdegup pantas. Entah kenapa, semenjak mereka semakin rapat, selalu sahaja jantungnya berdegup pantas bila mereka saling berpandangan. “Jadi ke balik esok?” Aish bertanya soalan yang sudah diketahui jawapannya. Jauh di sudut hati dia berharap Samirah akan berkata “tidak”.
Samirah sekadar mengangguk. Kemudian wajahnya ditundukkan, matanya berkalih merenung jus tembikai di atas meja. Debaran di dada belum surut, timbul pula rasa sebak. Rasa yang kuat bertandang bila mengenangkan dia akan merindui Aish dan keluarganya.
“Boleh tak kalau saya minta Ira jangan balik?”
Samirah panggung kepala. Membalas renungan Aish yang bagaikan menyerap seluruh raganya.
“Tak ada sebab untuk Ira terus tinggal di sini.” Matanya dilarikan semula ke bawah.
“Ada.” Aish menarik nafas dalam-dalam. Dadanya bagaikan dipalu-palu. Gementar ini harus hilang, maka perasaan yang terbuku ini harus diluahkan segera.
“Ira mesti tinggal di sini, untuk jadi penghibur dan teman bicara saya, selagi ada hayat dan selagi diizinkan Allah.”
Samirah panggung kepala semula. Merenung wajah Aish dan cuba mentafsir maksud permintaan Aish. Dia tahu namanya bermaksud penghibur atau teman bicara, tetapi apakah yang sebenarnya ingin disampaikan oleh Aish.
“Esok papa dan Aidid datang, kan?” soal Aish. Dibalas Samirah dengan anggukan. Otak masih mencerna kata-kata Aish Mirza tadi.
“Boleh kan esok, kalau saya beritahu papa Ira, saya nak kahwin dengan Ira?”
Samirah memandang Aish tanpa berkelip. Separuh hatinya tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya, separuh lagi hatinya bersorak keriangan. Kini dia tahu apakah punca debaran yang sering bertandang di dada bila berhadapan dengan Aish. Terasa wajahnya membahang. Air jerneh mula bertakung di kelopak mata, tangisan kegembiraan yang akan menitis bila-bila masa sahaja.
“Tu muka merah tu, maknanya setuju kan?” Aish mengusik, bibirnya mengorak senyuman.
Samirah hanya mampu mengangguk. Akhirnya tumpah juga airmata kegembiraan itu. Lafaz syukur terbit dari bibirnya. Sebuah senyuman dihadiahkan kepada Aish.
**********
“Kenapa Ira?” soal Samirah.
“Kenapa tidak?” soal Aish Mirza.
“Kan dulu abang tak suka Ira?”
“Kan masa tu abang tak kenal Ira?”
Kedua-dua mereka diam. Mereka berjalan sambil berpegangan tangan menyusuri Pantai Cenang. Pulau Langkawi menjadi lokasi berbulan madu, hadiah daripada Puan Kalisah dan suaminya.
Aish berhenti berjalan. Badannya dipusingkan menghadap Samirah. Kedua-dua tangan isterinya digenggam lembut.
“Iralah satu-satunya manusia yang berjaya membuatkan abang berhenti memakai boxer waktu tengok bola seorang diri di tengah malam.”
Samirah ketawa sekuat hatinya. Terasa sangat lucu kata-kata yang diucapkan oleh Aish. Sangat lucu hinggakan dia tidak mampu berhenti ketawa. Tangan kanannya dibawa menekup mulut. Aish tersenyum lebar, suka melihat gelagat isterinya.
“Abang ni kelakarlah,” ujar Samirah di hujung tawanya. Aish menggenggam erat tangan kiri Samirah dan dibawa ke mulut lalu dikucup.
“Ira jugalah yang menyedarkan abang tentang kepentingan tahajjud. Sebelum kenal Ira, abang tak pernah solat tahajjud, kecuali masa ikut program di universiti dulu. Itu pun berapa kali aje abang buat dan habis universiti abang tak ambil berat langsung pasal amalan bertahajjud.”
“Alhamdulillah,” sepatah jawab Samirah. Dia bersyukur kehadirannya dalam hidup Aish membawa kebaikan.
“Ira janji, Ira akan jadi penghibur dan teman bicara abang, selagi Allah izinkan.”
Aish senyum. Direnung wajah manis isterinya. Di dalam hati dia bersyukur dipertemukan dengan Samirah.
“Abang janji, abang akan jalankan tanggungjawab sebagai suami dan ayah kepada anak-anak kita sebaik mungkin. Ira akan bantu abang kan, ingatkan abang kalau abang terlupa, tegur abang kalau abang buat silap?”
Samirah senyum. Hati berbunga bahagia dengan lafaz ikrar suaminya.
“In sya Allah” ujarnya.
“In sya Allah” balas Aish.
Souces: Penulisan2u.my

No comments:
Post a Comment
Any comments??? Please Share...
Sebarang komen??? Silakan...