Tuesday, August 13, 2013

Rangsang kembali pendengaran anak

Foto



Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan

Belajar bercakap satu proses yang memakan masa yang lama. Bayi baru lahir memerlukan masa 12 bulan untuk merakam dan mengenal pasti pelbagai bunyi sebelum boleh menuturkannya.

Kebolehan bercakap juga dipengaruhi kemampuan individu untuk mendengar. Semakin rendah kualiti pendengaran, semakin sukar untuk individu berkenaan menyebut perkataan dengan jelas dan betul.

Keadaan ini perkara biasa dihadapi individu bermasalah pendengaran kerana proses pertuturan menjadi semakin sukar apabila meningkat dewasa terutama jika tidak diberikan rawatan sewajarnya.

Masalah pendengaran boleh berlaku kepada sesiapa saja dan boleh berpunca daripada pelbagai faktor.

Antara yang paling lazim adalah kongenital (bayi dilahirkan dengan kecacatan), jangkitan telinga tengah, meningitis, pendedahan kepada bunyi yang terlalu kuat dan faktor usia.


Foto 

Menurut Ketua Unit Terapi Pertuturan, Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan, Pusat Perubatan UKM, Nor Shahrina Mohd Zawawi, peringkat masalah pendengaran juga bergantung ­kepada tahap keseriusan faktor ­penyebabnya.

Sebagai contoh bagi kanak-kanak yang mengalami sumbing lelangit, kebiasaannya mereka berhadapan dengan masalah pada bahagian telinga tengah.

“Terdapat cara atau protokol tertentu yang perlu dilalui untuk menanganinya dan ibu bapa perlu memberikan perhatian khusus.

“Cara sebutan setiap perkataan perlu dititikberatkan bagi membolehkan kanak-kanak memahami bunyi dikeluarkan dengan betul,” katanya.

Secara umumnya, kanak-kanak sering berhadapan dengan masalah telinga tersumbat dan jika ia mengakibatkan jangkitan, individu berkenaan berisiko lambat bercakap.

Antara masalah pendenga­ran yang biasa berlaku ialah pekak. Ia adalah satu daripada kecacatan kongenital yang sering terjadi pada bayi baru lahir.

Oleh itu, terdapat proses pengesanan awal pen­dengaran dilakukan pada bayi baru lahir bagi memastikan pendengaran mereka normal.

Antara kaedah digunakan untuk mengatasi masalah pendengaran ini ialah melalui implan koklea (CI).

Ia adalah alat elektronik yang dimasukkan melalui pembedahan bagi memberikan deria bunyi kepada seseorang yang pekak atau pendengarannya terjejas teruk.

Malah, CI juga membantu memberikan pen­dengaran kepada pesakit yang tidak pekak kerana kerosakan pada deria sel rerambut dalam koklea.

Nor Shahrina berkata, implan yang dimasukkan membolehkan pendengaran yang mencukupi untuk memahami suara dengan lebih baik.

“Bagaimanapun kualiti bunyi berbeza berbanding pendengaran semula jadi kerana kurang maklumat bunyi yang diterima dan diproses oleh otak.

“Tetapi ramai pesakit boleh mendengar serta memahami pertuturan dan bunyi alam sekitar melalui penggunaannya, namun ia tidak mengembalikan pendengaran seperti individu normal,” katanya.

Kebanyakan pesakit yang menggunakan CI menggambarkannya sebagai bunyi mekanikal. Bagaimanapun, proses pemulihan berterusan membolehkan otak melakukan penyesuaian terhadap bunyi baru dan isyarat pertuturan.

CI sesuai dilakukan semua peringkat usia termasuk kanak-kanak.

Mereka yang mempu­nyai masalah pendengaran yang teruk digalakkan untuk menjalani CI bagi memulihkan kembali fungsi pendengaran mereka.

“Setiap peringkat usia mempunyai risiko dan tahap keberkesanan terhadap CI itu sendiri. Bagi pesakit lebih berusia, risiko dialami bergantung kepada tahap kesihatan mereka.

“Berbeza pula bagi kanak-kanak, mereka digalakkan mempercepatkan proses CI kerana ia akan membantu tahap tumbesaran sosial dan percakapan mereka pada masa depan,” katanya.

Sepanjang proses pemulihan, ibu bapa dan ahli keluarga perlu merangsang kembali pendengaran anak menggunakan alat pen­dengaran untuk berkomunikasi.

“Sekiranya tidak dilakukan dengan betul, ia akan menyebabkan kadar pemulihan individu yang melakukan CI terencat.

“Selain itu, individu ini juga perlu diajar menyebut perkataan dengan betul sejak dari asas lagi,” katanya.

Ibu bapa yang berupaya melatih anak mendengar dan bertutur membolehkan proses mendengar menjadi lebih pantas dan memudahkan aktiviti harian mereka.

Pembedahan implan ini akan dilakukan di bawah kulit belakang telinga manakala bahagian asas alatan pembedahan termasuk:


 

Luar

Mikrofon

Pemproses ucapan yang berfungsi untuk menapis ucapan didengari dan menghantar bunyi elektrik dengan memberikan isyarat melalui kabel nipis kepada pemancar.

Pemancar

Satu lapisan magnetik yang diletakkan di belakang telinga luar dan memancarkan isyarat bunyi yang diproses oleh induksi elektromagnetik.


Dalaman


Bahagian dalaman ­termasuk penerima dan elektrod.

Penerima terletak di bawah kulit belakang telinga yang membawa isyarat elektrik berkod daripada pemancar dan menyampaikannya kepada sistem susun tertib elektrod yang dimasukkan melalui pembedahan ke dalam koklea.

Sementara itu, elektrod pula merangsang gentian saraf auditori dan sensasi bunyi diterima.

Sebelum menjalani proses CI, seseorang itu perlu mengetahui jenis masalah pendengaran dihadapi.

Masalah pendengaran boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu boleh dirawat dan tidak boleh dirawat.

Jika pesakit menghadapi masalah pendengaran yang tidak boleh dirawat, penggunaan alat bantuan pendengaran sememangnya diperlukan.

Terdapat beberapa faktor penyebab masalah pen­dengaran iaitu:


  • Masalah pendengaran konduktif: Berlaku masalah atau jang­kitan pada telinga luar dan telinga tengah, ketiadaan lubang telinga (atresia, cuping telinga kecil atau tiada cuping telinga (mikrotia atau anotia), jangkitan kuman pada telinga atau gegendang telinga pecah.
  • Masalah pendengaran sensorineural: Terdapat masalah atau jangkitan pada telinga dalam di kawasan koklea dan saraf pendengaran.
  • Masalah pendengaran campuran: Terdapat kehadiran kedua-dua masalah pendengaran (campuran antara konduktif dan sensorineural.


Punca kecacatan pendengaran sejak lahir:

  • Jangkitan semasa kandungan seperti rubela dan sifilis.
  • Bayi yang pramatang atau tidak cukup berat badan (kurang daripada 1.5 kilogram).
  • Bayi yang dilahirkan lemas dan memerlukan alat pernafasan selepas lahir.
  • Meningitis atau jangkitan kuman pada otak selepas lahir.
  • Bayi yang mengalami kekuningan yang teruk sehingga tahap memerlukan pertukaran darah.
  • Bayi dilahirkan ­dengan masalah sumbing ­lelangit. 

 Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/12 - mymetro

No comments:

Post a Comment

Any comments??? Please Share...
Sebarang komen??? Silakan...

The Most Popular Traffic Exchange