Kebanyakan orang yang telah berjaya pada hari ini, hampir kesemuanya
bermula dengan ‘sisi yang gelap’. Ada yang jatuh bankrap, hutang
sekeliling pinggang, hidup tidak bahagia, tidak jelas tujuan hidup dan
sebagainya.
Daripada sebuah buku yang saya baca, setiap orang bercerita bagaimana
mereka bermula. Penulis buku berjaya seperti Rhonda Byrne (penulis buku
The Secret), Mark Victor Hansen, Jack Canfield dan Tim Ferris (penulis
buku 4-Hour Workweek), kesemua mereka dahulunya celaru dan tidak jelas
apa yang mereka perlu lakukan.
Baca buku dan kemudian berubah!
Namun segalanya berubah apabila mereka membaca sekurang-kurangnya sebuah buku dan kemudian BERTINDAK.
Rhonda Byrne contohnya, membaca sebuah buku klasik yang bertajuk ‘The
Science of Getting Rich’. Ketika itu, beliau sedang menghadapi beberapa
situasi yang kurang membahagiakan termasuk soal kewangan, selain ibunya
yang sakit. Beliau membaca buku itu dengan fokus dan kemudian mengikuti
sepenuhnya formula dalam buku itu.
Salah satu perkara yang penulis buku itu sarankan adalah, BERSYUKUR
terhadap apa yang dimiliki dan bukan mengeluh nasib terhadap apa yang
belum diperolehi. Katanya, kaedah ini amat bertentangan seperti mana
yang beliau lakukan selama ini iaitu mengharap sesuatu yang belum ada di
dalam genggaman.
Selain itu, beliau (Rhonda Byrne) kemudiannya mengeluarkan wang
sebanyak $500 dollar dan memberikan setiap keping not $50 kepada mereka
yang memerlukan, termasuk orang yang tidak dikenali.
Dalam beberapa tempoh selepas itu, beliau mendapat rezeki sebanyak
$25,000. Selepas hidupnya berubah dari segi kewangan, emosi dan ibunya
kembali sihat, dari situlah beliau mendapat idea untuk menghasilkan
projek ‘The Secret’.
Pelajaran yang dapat diambil
Setelah membaca kisah-kisah mereka itu, satu perkara yang dapat saya
simpulkan, iaitu baca buku yang dipilih dan ikut sepenuhnya tindakan
yang disarankan. Seperti kata pepatah barat, “don’t reinvent the wheel”.
Sekurang-kurangnya untuk permulaan dan kemudian itu jika mahu mencipta
formula sendiri, maka tidak ada apa-apa halangan.
Daripada kisah di atas, kebanyakan buku yang mereka baca adalah
disarankan oleh rakan dan kenalan mereka. Jadi kalau kita tidak tahu
buku apa yang TERBAIK untuk dibaca, tanyalah sesiapa yang berkenaan.
Antara buku yang telah membawa saya sehingga ke hari ini dalam bidang
pilihan saya adalah buku-buku tulisan Chef Li (Dato’ Dr Rusly
Abdulllah). Pada saat saya telah menyerah kalah, saya terlihat buku
tulisannya di bilik seorang kawan dan beliau memberikan saya pinjam.
Sehari suntuk dan satu malam saya tidak keluar bilik membaca buku
itu. Kemudian semangat saya kembali naik mendadak dan tekad untuk terus
berusaha.
Buku pertama tulisan beliau yang saya baca itu adalah “Biar Kecil
Asal Berhasil”, disusuli dengan buku “Petunjuk Jalan Kekayaan”, dan
seterusnya semua buku-buku beliau yang lain.
No comments:
Post a Comment
Any comments??? Please Share...
Sebarang komen??? Silakan...