Setiap kali tiba tahun baru, semua orang akan mula merencana impian,
azam dan matlamat sempena tahun baru. Ia satu usaha yang bagus.
Namun pada tahun 2015 khususnya, ia adalah tahun yang lebih berbeza
terutama dari sudut ekonomi. Walaupun kita tidak perlu tahu secara
mendalam mengenai ekonomi dunia, tetapi kita perlu tahu serba sedikit
apa yang sedang dan akan dijangka berlaku. Kita tidak perlu meramal,
tetapi cukup dengan melihat apa yang sedang berlaku sekarang seperti GST
yang akan bermula April 2015 dan yang terkini subsidi petrol telah
ditarik. Sedikit sebanyak ia memberi kesan terhadap kos kehidupan.
Dengan adanya sedikit pengetahuan semasa, ia membantu kita untuk
merancang kewangan diri, bisnes dan keluarga.
Sudah ada beberapa syarikat besar telah membuang pekerja di
penghujung tahun 2014 kerana telah melalui saat genting pada tahun 2014
selain mahu bersedia dengan situasi yang sukar dijangka pada tahun 2015.
Kita juga telah tahu, nilai ringgit telah jatuh ke tahap yang amat
rendah.
Saya tidak akan menulis mengenai ekonomi kerana saya bukan pakar.
Tetapi dalam post ini saya akan berikan cadangan apakah yang boleh kita
lakukan selaku rakyat biasa. Berikut adalah 7 perkara yang saya ingin
cadangkan sama anda sebagai usahawan mahupun pekerja (makan gaji).
1. Gunakan masa seoptimum mungkin.
Sudah tiba masanya kita mengurangkan aktiviti-aktiviti yang banyak
mengeluarkan wang tetapi ia tidak memberikan apa-apa manfaat kepada
bisnes, kerjaya ataupun diri sendiri. Begitu juga dengan jumlah masa
yang diluangkan untuk media sosial, ia mungkin perlu dikurangkan
melainkan anda mempunyai alasan yang kukuh contohnya untuk berniaga di
Facebook ataupun melakukan pemasaran di sana.
Kurangkan juga masa untuk berhibur kerana yang lebih penting adalah
kita gunakan masa yang ada untuk menyimpan wang bagi saat kecemasan.
Begitu juga dengan “melepak” dan “mengeteh” yang tiada tujuan penting;
kurangkan ia atau hentikan terus. Namun tidak bermaksud di sini kita
hanya perlu bekerja 24 jam. Masa untuk riadah dan rehat juga adalah
perlu.
Urus dan guna masa anda baik-baik. Jangan buang waktu kepada perkara
yang kurang penting. Gunakan masa yang ada untuk buat duit tambahan
(bagi yang bekerja makan gaji) dan gandakan usaha bagi yang usahawan
sepenuh masa.
Jika saya, masa yang saya ada akan digunakan untuk:
- Kerjaya/bisnes
- Amal ibadat (wajib dan sunat)
- Diri sendiri (kesihatan, ilmu, dll…)
- Keluarga
Saya akan fokus kepada 4 perkara di atas sebelum yang lain-lain. Soal
perjuangan ummah dan bangsa, bagi saya ia adalah subjektif.
Membangunkan diri, keluarga dan bisnes yang dibina juga adalah
perjuangan untuk ummah walaupun ia bukan secara langsung. Bangsa dan
ummah yang gemilang terhasil daripada kemajuan diri setiap orang dalam
bangsa/ummah itu dan bermula dari institusi keluarga.
2. Lakukan perkara yang memberi timbal balik yang menguntungkan.
Perkara kedua ini lebih kurang sama dengan point nombor 1 di atas.
Apa saja yang akan kita lakukan, pastikan ia memberikan keuntungan
kepada kita. Ada timbal balik. Perkara ini adalah penting terutama
kepada peniaga dan usahawan. Jangan lakukan sesuatu yang membuang masa
dan sia-sia. Dalam perniagaan, ada dua perkara penting dan amat penting
iaitu pemasaran dan jualan. Kuasai kedua ilmu itu dan lakukan ia sepenuh hati dan pada setiap hari/masa.
3. Fokus pada satu yang paling anda pakar. Dan yang satu itu mempunyai pelbagai aliran pendapatan.
Pada saat ekonomi yang meruncing, kita mungkin sedikit sukar untuk
melakukan banyak perkara dan usaha kerana banyak masa dan kos
diperlukan. Banyak syarikat yang pada mulanya berkembang dengan banyak
anak syarikat kini dikecilkan semula menjadi sebuah syarikat. Kita lihat
juga beberapa buah bank yang digabungkan agar mereka menjadi lebih kuat
untuk menghadapi masa depan. Apatah lagi kita perniagaan yang
kecil-kecil ini.
Kelebihan melakukan satu bentuk usaha (bidang perniagaan) adalah kita
dapat fokus sepenuh hati dan jiwa. Kita juga boleh lebih fokus untuk
merancang, bertindak dan belajar ilmu-ilmu baru. Contohnya jika anda
menjana pendapatan melalui program affiliate, anda boleh mempromosikan
beberapa produk affiliate. Jika anda menjana pendapatan dengan blog,
anda boleh mempunyai beberapa buah blog. Ini yang dikatakan sebagai
pelbagai sumber pendapatan.
4. Ada perancangan perlindungan risiko.
Salah satu cara yang paling mudah adalah dengan mencarum dalam
takaful. Sekarang takaful mempunyai pakej 3 dalam 1 iaitu perlindungan,
pelaburan dan kad perubatan. Ya, kita mungkin berkira untuk “membayar”
takaful, tetapi ia adalah untuk kebaikan kita, anak-anak dan isteri
andai berlaku sesuatu kepada kita. Mengambil takaful adalah “wajib”
terutama kepada suami. Apatah lagi bagi anda yang bujang. Ambil
mana-mana pakej takaful sebelum GST bermula kerana mungkin kadar caruman
akan meningkat naik.
5. Lakukan perniagaan secara online semaksimum mungkin.
Perniagaan melalui online adalah salah satu cara terbaik untuk anda
ceburi. Jika anda belum ada kedai / premis perniagaan dan ada niat untuk
mempunyai premis sendiri, mungkin tangguhkan dulu perancangan itu
melainkan anda akan gunakan ia dengan optimum dan mampu memberikan
keuntungan. Saya pernah bertemu dengan usahawan offline dan beliau ada
mengatakan, “Kalau kami tidak masuk pemasaran melalui online, kami sukar untuk survive.” Bagi yang sudah mempunyai premis perniagaan (offline), teruskan saja dengan perancangan yang lebih hebat.
6. Lakukan sesuatu yang mampu kita kawal sepenuhnya.
Ucapkan selamat tinggal kepada politik dunia. Serahkan ia kepada
orang politik. Jika anda bukan orang politik, sebaiknya anda fokus pada
diri sendiri, anak isteri dan keluarga. Itu tanggungjawab anda lagi-lagi
jika anda anak lelaki, suami ataupun anak sulung. Ini juga berkaitan
dengan perkara 1 dan 2 di atas. Ramai orang habiskan masa menjadi
“keyboard warrior” di Internet tetapi ia langsung tidak memberikan
apa-apa manfaat.
Apa yang saya maksudkan adalah, jika kita setiap hari marah-marah dan
tidak puas hati dengan mana-mana Menteri, Yang Berhormat (YB) dan
pihak-pihak bersangkutan, walaupun ia benar apa yang dikatakan, tetapi
selalunya kita seperti kata pepatah, umpama “anjing menyalak bukit”.
Kita biasanya tidak akan dilayan dan suara kecil kita sukar untuk
diambil kisah.
Jadi, kita fokus kepada ruang lingkup aspek yang mampu untuk kita
kawal sepenuhnya. Contohnya, kita mampu mengawal masa kita sendiri. Maka
gunakan ia untuk perkara-perkara yang boleh memberikan keuntungan
kepada kita sama ada dari segi pendapatan, bisnes dan sebagainya. Kita
juga mampu untuk menentukan sejauh mana ilmu dalam diri kita. Jika kita
rajin membaca dan belajar, maka semakin meningkatlah pengetahuan kita.
7. Tambah ilmu baru. Banyakkan membaca dan belajar.
Perkara yang dapat mengubah kita adalah ilmu (yang diamalkan). Tidak
semestinya membeli buku kerana kita boleh membaca secara online sahaja.
Tanpa menambah ilmu, kita akan kerap melakukan kesilapan dan akan
melakukan perkara yang sama dalam tempoh yang lama. Jadi langkah pertama
untuk berubah adalah dengan ilmu. Salah satu cara cepat untuk belajar
sesuatu yang baru adalah dengan bertanya mereka yang telah berjaya dalam
bidang mereka (yang juga kita ceburi).
8. Tambah amal ibadat dan sedekah.
Prinsip logik menyatakan, semakin banyak kita keluarkan, ia adalah
satu kerugian. Pada mata zahir, ia akan mengurangkan apa yang kita ada.
Tetapi dalam Islam, semakin banyak kita memberi, semakin banyak yang
akan kita dapat. “1 dibalas 10 dan 10 dibalas 100″.
"Zakat adalah wajib. Tunaikan ia terlebih dahulu sebelum sedekah"
Begitu juga dengan amal ibadat terutama solat 5 waktu, ia adalah
perkara utama yang perlu disempurnakan. Kemudian susuli dengan
amalan-amalan sunat yang lain terutama solat Dhuha, tahajud dan
qiyamullail. Namun perkara penting di sini adalah, lakukan itu semua
dengan ikhlas kerana Allah. Bukan kerana sekadar “amalan murah rezeki”.
9. Tetapkan matlamat yang jelas untuk dicapai.
Sebaik-baiknya, matlamat yang ditetapkan adalah realistik dan mampu
dicapai pada tahun 2015. Matlamat ada dua jenis iaitu yang besar dan
yang kecil. Untuk matlamat besar, tetapkan paling banyak 3 sahaja.
Manakala yang kecil boleh letak beberapa. Kelebihan menetapkan matlamat
adalah kita tahu apakah yang kita “perjuangkan”, bukan sekadar untuk
hidup secara spontan dan tanpa hala tuju.
10. Terus ke depan.
Jangan terlalu melayan masalah-masalah kecil yang membantutkan
perjalanan kita ke hadapan. Mana-mana masalah yang penting, kita boleh
selesaikan. Mana-mana masalah yang kita boleh lupakan dan maafkan, maka
lupakan saja dan terus ke depan. Jangan berpaling ke belakang dan jangan
berhenti terlalu lama. Masa adalah aset paling berharga pada diri
kita. Daripada menghabiskan masa terhadap sesuatu yang belum tentu
memberikan keuntungan, lebih baik gunakan masa itu untuk sesuatu yang
‘pasti’ memberikan keuntungan.
11. Ubah cara berfikir.
Kita tidak akan berubah dan akan terus berada di takuk yang sama
selagi kita tidak mengubah cara kita berfikir dan melihat sesuatu. Jika
cara pandang kita begitu kerap negatif dan bersangka buruk terutama
terhadap keupayaan diri sendiri, maka hasilnya mungkin tidak ada apa-apa
untuk kita. Lihat orang yang berjaya, mereka berfikiran besar, yakin
pada diri sendiri dan tidak mudah patah hati.
12. Jangan jadikan ekonomi sebagai Tuhan.
Ya.. Kita mungkin terlalu takut terhadap ekonomi yang meleset
sehingga kita tidak tersengaja “tidak percaya” kepada pemilik ekonomi
yang hakiki, iaitu Allah yang berkuasa. Kita tidak perlu takutkan
ekonomi yang merudum, tetapi takutlah pada Allah. Dia pemilik
segala-galanya di alam semesta ini. Jika kita yakin dengan Allah, maka
secara automatik kita tidak akan gentar untuk menghadapi kehidupan ini
yang kadang-kadang gelap, kadang-kadang terang. Kita yakin pada Allah.
Jadi minta pada-Nya agar hidup kita dipermudahkan dan diberikan
kesabaran yang tinggi.
Saya doakan kejayaan, kebahagiaan, kekayaan dan ketenangan jiwa kepada anda semua.
No comments:
Post a Comment
Any comments??? Please Share...
Sebarang komen??? Silakan...